|
BERAKHLAK
DALAM MENDIDIK ISTERI
Sebuah
rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang dikendalikan
mengikut nilai-nilai yang dikehendaki oleh Allah swt.
Tidak boleh dikatakan rumahtangga
sekiranya sesebuah rumahtangga itu tidak dapat diatur
dan disusun mengikut apa yang dikehendaki Allah walaupun
keadaan rumahtangga itu nampaknya tenang dan
aman.
Dalam hal ini, kebijaksanaan suami dalam mengendalikan
rumahtangga menjadi faktor penting untuk mencapai tujuan
itu. Perkara yang utama yang patut dilakukan
oleh suami ialah berakhlak dengan isterinya.
Maksud berakhlak di sini ialah si suami mestilah seorang
penyabar dalam mendidik isterinya. Dalam ertikata yang
lain si suami mestilah sanggup menghadapi derita dan sengsara
disebabkan kerenah isterinya. Ini adalah kerana kaum perempuan
itu
dijadikan oleh Allah sebagai makhluk yang lemah. Terutamanya,
akal fikiran mereka adalah pendek dan sebab itulah mereka
bertindak gopoh dan mudah
melenting.
Oleh yang demikian ketika isteri marah, suami kenalah
menaruh perasaan belas kasihan dengan mendiamkan diri
dan bersabar. Biarkan dia bercakap apa sahaja kerana apabila
kehabisan modal untuk bercakap dia akan diam. Jangan dilawan
cakapnya kerana akan lebih banyaklah modal percakapannya.
Jangan pula lari meninggalkannya kerana kalau lari, apabila
suami balik semula, si isteri akan sambung balik percakapannya.
Tunggu dan diam sampai si isteri berhenti bercakap. Lepas
itu kalau si suami hendak bercakap pun sudah boleh.
Sebenarnya itulah rahsia yang ada pada seorang isteri,
apabila telah habis melepaskan apa yang hendak dicakapnya,
dia akan tenang kembali kerana seperti
yang dikatakan, fikirannya adalah di atas lidah sahaja.
Sebab itulah, kalau si suami tidak melawan cakap-cakap
isteri, rumahtangga akan lebih selamat. Pokoknya si suami
hendaklah sabar banyak-banyak dan sanggup menanggung kesakitan
itu.
Tentang kaum perempuan ini kurang akal atau fikirannya,
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud:
"Kurang akal fikiran perempuan ini Tuhan jadikan
begitu."
Sebab itulah, Allah swt menghendaki dua saksi orang perempuan
untuk menyamai satu saksi kaum lelaki. Atas dasar inilah,
para suami diseru oleh Allah swt di
dalam Al Quran dengan firman yang bermaksud:
"Hendaklah suami-suami bergaul dengan isteri-isteri
itu dengan sebaik-baiknya."
Rasulullah saw ada menyatakan bahawa barangsiapa yang
sanggup menahan penderitaan atau sabar di atas kejahatan
serta perangai isteri mereka Allah swt akan memberi mereka
pahala sebagaimana pahala bagi Nabi Ayub.
Menurut sejarah Rasulullah saw adalah orang yang paling
baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya. Beliau dapat
menahan segala kemarahan terhadap isterinya yang kadang-kadang
membuat ragam juga. Sebab itulah sabda Rasulullah saw
yang maksudnya:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik dengan
isterinya. Aku adalah orang yang paling baik dengan isteriku."
Dalam satu peristiwa, Siti Aisyah telah memarahi Rasulullah.
Kata Siti Aisyah kepada beliau, "Engkaukah orang
yang mengaku Nabi?" Nabi hanya senyum sahaja. Kemudian
Rasulullah berkata, "Aku tahu, kalau engkau marah
kepada aku, kau cakaplah begini, "Demi Allah Tuhan
Ibrahim." Kalau engkau gembira dengan aku, kau katalah
"Demi Tuhan Muhammad." Jawab Aisyah, "Betul
kata engkau itu. Masa aku marah, aku tidak sebut nama
engkau."
Di masa lain pula Siti Aisyah telah menolak Rasulullah
saw dari belakang hingga beliau hampir jatuh. Emak Siti
Aisyah ternampak perangai Aisyah lalu ditamparnya
muka Aisyah. Kemudian berkata Rasulullah saw, "Biarkanlah
dia begitu. Sebenarnya dia telah banyak berbuat kepada
aku, lebih dari itu lagi."
Sewajarlah para suami mengambil iktibar daripada banyak
ragamnya isteri-isteri Rasulullah saw. Sebenarnya bukan
Siti Aisyah sahaja yang membuat karenah malah isteri-isteri
Rasulullah yang lain juga. Tetapi Rasulullah boleh hadapi
semuanya dengan senyum sahaja.
Kalau isteri Rasulullah bertaraf Ummahatul Mukminin itu
pun ada juga ragamnya dan wanita-wanita solehah di zaman
Rasulullah yang mendapat didikan langsung dari Rasulullah
itu pun banyak ragamnya, apa lagilah wanita-wanita dan
isteri-isteri di zaman yang telah jauh dari zaman Rasulullah
ini.
Sebenarnya Allah swt jadikan isteri-isteri Rasulullah
demikian ragamnya supaya dapat menjadi contoh kepada umat
Nabi Muhammad yang kemudian ini tentang akhlak Rasulullah
saw bila berhadapan dengan isteri-isterinya.
Kalaulah Allah jadikan isteri Rasulullah itu baik semuanya,
jadi tidak ada contohlah para suami tentang bagaimana
sikap yang patut dilakukan ketika isteri meragam untuk
mengekalkan kebahagiaan rumahtangga. Sebab itulah, bila
Allah jadikan Siti Aisyah dan isteri-isteri Raulullah
begitu untuk menjadi contoh dan dapatlah diambil teladan
darinya. Yang demikian, bolehlah si suami memujuk hati
dengan mengatakan, "Sedangkan Rasulullah tidak marah-marah,
sepatutnya aku pun bagitu juga."
Lagipun, banyak ragam ini tidak mencacatkan kesolehan
wanita. Sebab itu, para suami jangan lekas naik radang
dan menuduh isteri nusyuz, engkar dan sebagainya.
Banyak ragam tidak menjadikan isteri nusyuz. Cuma ketika
itu isteri sedang naik angin, biarkan sahaja sehingga
angin itu sejuk. Nanti akan baiklah dia. Sebab itulah
para suami dikehendaki banyak bersabar dalam mendidik
isterinya.
Si suami bukan sahaja mesti bersabar dengan kelakuan isterinya
malah disuruh juga oleh Allah supaya bergurau-gurau dan
bermain-main dengan isterinya. nabi
juga menyuruh para suami bermesra dengan bergelak ketawa
bersenda-senda dengan isteri. Janganlah suami-suami sentiasa
bersikap terlalu serius dengan
para isteri untuk mempertahankan kehebatan. Kalau sesama
lelaki bolehlah menjaga kehebatan masing-masing dan tidak
digalakkan selalu sangat bergurau sesama lelaki. Tetapi
dengan isteri sepatutnya si suami mestilah banyak bergurau.
Malah Rasulullah saw sendiri amat suka bersenda gurau
dengan isterinya, hinggakan semasa Rasulullah bergurau
dengan isterinya, dia sanggup menurunkan darjatnya seperti
seorang perempuan. Ertinya, Rasulullah turut bergurau
macam seorang perempuan bergurau iaitu sindir menyindir,
cubit mencubit dan sebagainya.
Pernah dalam satu gurauannya dengan Siti Aisyah mengajak
isterinya itu berlari-lari. Sedangkan ketika itu Siti
Aisyah muda belia berumur 16 tahun. Sedangkan
Rasulullah sudah berumur 60 tahun, tapi Rasulullah tetap
lakukan juga kerana hendak menghibur-hiburkan hati isterinya.
Walaupun begitu, apabila beliau
berlumba lari dengan Siti Aisyah, Rasulullah tetap menang
sebab Rasulullah tetap menang sebab Raulullah juga adalah
ahli sukan yang pantas disebabkan beliau
sentiasa riadah dengan menunggang kuda, bermain pedang
dan lain-lain senjata.
Justeru itu para suami eloklah memperbanyakkan gurau senda
dengan isteri masing-masing dan eloklah sekali sekala
mengajak isteri berlumba-lumba dan sebagainya. Begitu
juga dalam soal masak-memasak dan mengemas
rumah, suami hendaklah membuat kerja tersebut sebagaimana
telah dilakukan oleh Rasulullah saw. Sesungguhnya sunnah
nabi itu adalah ikutan yang paling
baik.
Suami yang baik ialah suami yang memberi contoh tauladan
dalam mendidik isteri. Jadikan masa yang terluang atau
masa rehat itu dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang
memberi faedah, bukan dengan aktiviti-aktiviti seperti
berbual-bual kosong di kedai-kedai kopi, di tempat-tempat
maksiat dan sebagainya. Begitu juga dengan aktiviti memancing
atau bersukan dan lain-lain yang kadang-kadang sampai
tertinggal ibadah sembahyang.
Di sini saya ingin menyentuh sedikit tentang ibadah sembahyang
di surau-suaru atau di masjid-masjid. Hari ini, baik di
surau-surau atau di masjid-masjid sudah kurang dikunjungi
oleh umat Islam untuk bersembahyang jemaah atau mendengar
kuliah agama. Apa yang menyedihkan, ada di antara orang-orang
yang rumah-rumahnya berhampiran dengan masjid atau surau-surau
pun tidak terlangkah oleh kaki untuk
mengerjakan ibadah sembahyang berjemaah atau mendengar
kuliah agama.
Ada di setengah-setengah tempat sampai imam sembahyang
yang dilantik pun jarang sembahyang berjemaah, ini tidak
termasuk lagi ahli jawatan kuasa masjid atau surau yang
tidak ada rasa tanggungjawab untuk memberi contoh kepada
makmum-makmun yang lain.
|