Berkahwin bererti kesediaan hati


Perkahwinan adalah salah satu titik untuk menyempurnakan kejayaan kita dalam hidup. Seseorang yang berjaya belumlah sempurna jika perkahwinannya porak peranda, apa lagi kalau tak berkahwin terus. Sukar dibuktikan apakah dia lelaki sejati tanpa dibuktikan dengan perkahwinan yang bahagia.

Berkahwin bermakna kesediaan hati menerima seseorang untuk saling berkasih sayang. Ini cabaran kepada setiap orang yang sihat dan mampu. Ini bermakna selagi tidak berkahwin ciri-ciri yang diperlukan oleh nurani manusia tidak terlayan sebaiknya. Itu juga membuktikan ketidaksempurnaan hidup walaupun dipandang dari sudut kebendaan dia telah mencapai kesemuanya.

Dan yang lebih patut difikirkan tentang membujang sampai tua ini ialah sabda Rasulullah s.a.w., yang maksudnya, "Tidak ada rahbaniah d'l dalam Islam (iaitu hidup membujang sampai ke akhir hayat)."

Sudah tentu hadis ini terkecuali bagi orang-orang yang haram berkahwin, sebagaimana saya jelaskan.

Ada orang yang memberitahu saya, hatinya sudah tawar untuk berkahwin. Malah melihat wanita pun terasa menyampah. Dia melihat wanita sebagai perosak kehidupan lelaki. Ramai lelaki yang asalnya sempurna dan bahagia menjadi setengah gila apabila berkahwin. Wanita benar-benar menyebabkan hidupnya tidak tentu arah.

Memang banyak sebab berlakunya masalah seperti ini. Selain diri sendiri yang tidak dapat disesuaikan dengan kehidupan baru, campur tangan orang sekeliling seperti mentua, ipar duai dan saudara mara sebelah isteri sering menyumbang kepada beberapa perselisihan dan kekalutan.

Tapi kena lihat juga berapa ramai orang yang asalnya'tak sempurna hidup' setelah berkahwin muncul sebagai orang-orang yang berjaya, dihormati masyarakat dan penting. Sejarah juga membuktikan ramai lelaki berjaya kerana ada wanita di sampingnya. Wanita memang penting dalam kehidupan seseorang lelaki. Kalau tidak, taklah ALLAH jadikan wanita insan kedua selepas NabiAdam a.s., walaupun saya tidak menafikan memang ramai juga lelaki yang tersungkur akibat wanita.

Kalaupun merajuk janganlah sampai membenci semua wanita. Janganlah sampai hilang nafsu atau hilang kepercayaan terhadap golongan ini. Menyukai insan berlainan jenis adalah fitrah setiap manusia normal. Kalau sebaliknya itu menunjukkan ada sesuatu yang tak kena dengan diri kita.

Cinta sepatutnya menjadikan manusia lebih bertenaga, kuat dan termotivasi sepenuhnya.Tidak sepatutnya cinta menjadi penyebab kemurungan, hilang keyakinan diri atau dendam-dendam yang tidak berkesudahan.

Nikmatilah cinta dalam bentuknya yang ter-istimewa - perkahwinan!

Copyright © Reserved , Minyak Lintah ® Moderator