Rencana: Doktor Sakit Puan: Kondom cegah hamil sehingga 97 peratus
SAYA ingin tahu sejauh mana kondom
selamat digunakan kerana
berdasarkan pengetahuan saya, kondom mempunyai sejenis bau serta
berhabuk halus.
Adakah habuk itu akan menyebabkan
faraj wanita rosak atau dijangkiti
kuman yang ada pada kondom itu?
Apakah peratusan penggunaan kondom
akan mencegah kehamilan seseorang
wanita?
Linn, Johor
KONDOM adalah sejenis sarung nipis
yang disarungkan pada zakar. Ia
diperbuat daripada lateks (susu getah), plastik atau tisu binatang
seperti usus kambing.
Kondom boleh didapati dalam pelbagai
jenis seperti tanpa pelincir,
mengandungi pelincir dengan silikon atau pelincir pembunuh sperma,
berwarna, berbedak dan mempunyai pelbagai perisa. Ia juga mempunyai
pelbagai bentuk dan saiz. Oleh itu, ia mempunyai pelbagai bau.
Kondom berbedak biasanya terdiri
daripada tepung jagung dan tidak
merosakkan faraj wanita. Kegunaan kondom selalunya tidak menimbulkan
kesan sampingan kecuali hanya kepada segelintir wanita, yang
mana
lima hingga tujuh peratus mungkin alah kepada lateks.
Golongan berkenaan boleh menggunakan
kondom plastik atau kondom yang
diperbuat daripada usus kambing. Kondom lateks sama ada berbedak
atau
tidak jika digunakan dengan betul selain mencegah kehamilan,
ia dapat
mengurangkan risiko penyakit kelamin seperti herpes, sifilis,
gonorea, klamidia, hepatitis dan HIV.
Kondom juga dapat mengurangkan
risiko kanser serviks dan penyakit
radang pelvik. Tiada kajian yang kukuh buat masa ini yang menunjukkan
kondom yang diperbuat daripada plastik atau usus kambing dapat
mencegah penyakit kelamin.
Untuk meningkatkan keberkesanan
kondom, ia mesti disarungkan sebelum
sebarang hubungan kelamin. Sentiasa gunakan kondom baru. Hanya
pelincir cecair seperti `KY Jelly' atau `Summer's Eve' yang
boleh
digunakan bersama kondom lateks.
Pelincir jenis berminyak seperti
`vaselin' boleh melemahkan atau
mengoyakkan kondom. Adalah penting untuk memastikan kondom tidak
disimpan di tempat panas seperti dalam kereta kerana ia boleh
mengakibatkan kondom mudah terkoyak.
Buka kondom dengan berhati-hati
supaya tidak terkoyak oleh kuku,
barang kemas atau gigi anda. Jangan cuba menguji kondom. Melipat
atau
menyimpan kondom semula boleh merosakkannya dan menyukarkan
pemakaian
kondom berkenaan.
Jika kondom digunakan dengan cara
yang betul, peratus keberkesanan
kondom untuk mencegah kehamilan ialah dari 95 hingga 97 peratus.