|
MEMASANG
NIAT SEBELUM BERKAHWIN
Setiap
pasangan yang akan berkahwin hendaklah memasang niat-niat
yang baik, sesuai dengan tujuan-tujuan perkahwinan yang
telah digariskan oleh Islam; antaranya:
1.Ingin meramaikan umat Islam.
Firman Allah s.w.t.bermaksud: "Wahai sekalian manusia!
Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu
(bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan
daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan yang
membiakkan dari kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan
perempuan yang ramai." (an-Nisa': 1)
2.Membersihkan zuriat dalam keluarga Islam.
Firman-Nya yang bermaksud: "Dan Allah menjadikan
bagi kamu isteri-isteri dari jenis diri kamu sendiri,
dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak
dan cucu-cicit, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik.
Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan
mengikari nikmat Allah?" (an-Nahl: 72)
3.Menceriakan kehidupan umat.
Seperti maksud firman Allah s.w.t.: "Dan antara tanda-tanda
yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa Dia
menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri
dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan
hidup mesra dengannya. (ar-Rum: 21)
4.Membantu menyuburkan iman.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Dan orang-orang
yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi
penolong bagi sesetengahnya yang lain, mereka menyuruh
membuat kebajikan dan melarang daripada berbuat kejahatan,
dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat
serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan
diberi rahmat oleh Allah. (at-Taubah: 71)
Tujuan-tujuan sebegini wajar diteliti oleh setiap orang
yang hendak berkahwin agar perkahwinan itu dibina di atas
landasan yang betul dan kuat serta dikaitkan dengan kepentingan
agama. Namun demikian, ini tidak bermakna Islam menafikan
kepentingan peribadi dalam setiap perkahwinan. Malah di
atas kepentingan peribadi itulah dibina kepentingan Islam
tadi, sesuai dengan maksud beberapa hadis berikut:
1.Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Kahwinilah
perempuan yang keturunan anak ramai, sesungguhnya aku
berbangga dengan kamu kerana ramainya ummah." (Riwayat
Abu Daud dan Nasa'i).
Untuk menambah bilangan umat Islam ke tahap yang membanggakan
Rasulullah, mestilah dengan keinginan seks. Seorang yang
berkahwin tanpa ada keinginan seks tidak akan menghasilkan
zuriat, malah orang yang tidak bernafsu seks tidak dibenarkan
berkahwin. Untuk mencapai kehendak Rasulullah di atas
maka setiap kali melepaskan keinginan seks, niatkan untuk
menambah bilangan umat yang bertaqwa.
2.Rasulullah bersabda, maksudnya: "Pilihlah tempat
menyimpan air mani yang baik (isteri solehah) dan kahwinilah
wanita yang sepadan." (Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim).
Pilihan yang tepat ada kaitan dengan zuriat keturunan.
Perhubungan seks dengan pasangan yang baik itu menjadikan
zuriat keluarganya baik-baik juga. Sebaliknya, jika keturunan
salah satu dari pasangan itu terdiri daripada orang yang
pernah membuat maksiat maka kesannya akan menjalar kepada
zuriatnya pula.
Rasulullah bersabda: "Apabila suami mengajak isterinya
ke tempat tidur lalu dia enggan, maka tidurlah suami itu
dalam keadaan marah kepadanya. Akibatnya malaikat turut
marah kepadanya sehingga Subuh. (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Hubungan seks boleh menceriakan hati pasangan suami isteri.
Tanpanya akan menjadikan hati pasangan menjadi gundah,
menderita dan tidak tenang. Isteri perlu sedar tanpa berkahwin
pun seseorang itu boleh memakai pakaian bersih, boleh
makan makanan yang enak dan boleh berhibur hati, tetapi
tanpa perkahwinan dia tidak boleh menyalurkan keinginan
seks secara halal. Kerana itu, hormatilah suami demi menceriakan
jiwanya.
3.Rasulullah pernah juga bersabda yang menggambarkan apabila
seseorang itu berkahwin menangislah para syaitan dan sembahyang
orang yang berkahwin lebih pahalanya daripada mereka yang
belum berkahwin.
Dengan berkahwin, seorang isteri itu akan terbela kehidupannya,
terselamat kehormatannya manakala suami pula tidak akan
terjebak lagi dengan dosa dan maksiat kerana semuanya
ada di dalam rumahtangga mereka. Ini dengan sendirinya
boleh meningkatkan iman dan taqwa masing-masing.
Begitulah antara sebab mengapa perkahwinan disyariatkan
dan begitu dititikberatkan. Seorang lelaki tidak minta
dirinya dikahwinkan, wanita tidak minta dirinya dilamar
dan janda tidak minta diri dan anak-anaknya dibela melainkan
hanya untuk kepentingan Islam. Demi mahu merebut kasih
sayang, rahmat dan redha Allah sebagai jambatan selamat
menuju ke hari akhirat.
"Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan.
Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini
mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman
mereka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Seorang
sahaya yang hitam, berbibir tebal yang beragama adalah
lebih baik." - Ibn Majah
-As-Saqafi-
|